Wednesday, December 18, 2013

Sebelum Memulakan Bisnes Sendiri

11 Perkara Yang Anda Perlu Tahu Sebelum Memulakan Bisnes Sendiri


#1 – Tindakan Lebih Penting Dari Ilmu Perniagaan!

Jika anda membaca kisah para usahawan yang berjaya, majoriti daripada mereka terdiri daripada mereka yang suka bertindak. Apabila mereka mempelajari sesuatu ilmu baru, mereka terus mempraktikkan ilmu tersebut. Itulah yang membezakan kenapa mereka berjaya dan kenapa sesetengah yang lain masih lagi ditakuk lama.
Berapa banyak dalam masyarakat kita hari ini mempunyai kesedaran untuk memulakan perniagaan sendiri. Telah hadir pelbagai jenis seminar perniagaan, telah membaca pelbagai jenis buku berkaitan dunia bisnes, telah menonton pelbagai rancangan bisnes tetapi masih tidak mengambil sebarang tindakan.

Akhirnya, bolehkah ilmu-ilmu tersebut menjadikan anda seorang usahawan berjaya tanpa sebarang tindakan? Ilmu itu penting, tetapi tindakan mempraktikkan apa yang telah diketahui itu lebih penting.

#2 – Jangan Hilang Fokus Terhadap Apa Yang Diusahakan

Setiap perniagaan yang ingin berkembang bukan sahaja perlukan modal kewangan sahaja tetapi ia juga perlukan modal tenaga, idea, kreativiti, masa dan sebagainya. Oleh itu, ramai usahawan berjaya menyarankan agar kita tidak mengerjakan beberapa perniagaan serentak di dalam satu-satu masa kerana kita mempunyai limitasi terhadap perkara-perkara tersebut.
Ketika kita asyik mengusahakan sesuatu perniagaan, maka tidak semena-mena banyak sekali peluang perniagaan lain yang nampak meyakinkan dan menguntungkan muncul. Sebelum ini tidak pernah pula kita melihat peluang keemasan sebegini!
Sebenarnya itu salah satu cabaran dan dugaan terhadap usahawan baru seperti kita. Banyak peluang-peluang sebegini cuba mengalihkan fokus kita dalam mengerjakan perniagaan utama kita. Jadi abaikan sahaja peluang tersebut.
Fokus kepada perniagaan kita sekarang dan sentiasa katakan kepada diri sendiri bahawa perniagaan yang kita sedang usahakan sekarang adalah yang terbaik.

#3 – Ubah Mindset Mengenai Kejayaan Perniagaan

Pada mulanya, saya berpendapat seseorang itu dikategorikan berjaya di dalam bisnes apabila beliau dapat memandu kereta mewah, memiliki rumah yang besar, memakai pakaian berjenama mahal dan pelbagai simbol kejayaan palsu lain.
Sehinggalah saya mula bertemu sekelompok usahawan yang mempunyai perniagaan bernilai jutaan malahan puluhan juta ringgit tetapi tidak memiliki sebarang simbol kejayaan seperti yang difahami sebelum ini. Mereka hanya memandu kereta biasa dan memakai pakaian jenama biasa.
Mereka berpendapat, kejayaan sebenar sesuatu perniagaan diukur berdasarkan berapakah jualan dan keuntungan tahunan syarikat, berapakah jumlah pekerja yang ada, berapa nilai aset syarikat dan sebagainya.

#4 – Mengurus Kewangan Syarikat Dengan Penuh Disiplin

Kita seringkali mendengar bahawa kegagalan perniagaan orang Melayu disebabkan mereka gagal menguruskan kewangan dengan baik. Memang benar, perniagaan saya sendiri pada awalnya gagal bukan kerana produk tidak bagus atau jualan yang merosot tetapi oleh kerana saya mengabaikan pengurusan kewangan syarikat.
Entah mengapa, pengurusan kewangan seolah-olah sesuatu yang tidak penting di dalam masyarakat Melayu. Kita tidak pernah mencatat berapakah perbelanjaan harian kita, dari manakah pendapatan kita dan kemanakah duit kita dibelanjakan. Jadi apabila sang Melayu ini mula berniaga, maka jauh sekali dia akan praktikan pengurusan kewangan terhadap perniagaanya!

#5 – Jangan Kecilkan Skop Rakan Kongsi

Rakan kongsi yang baik dan tepat menjanjikan kelangsungan bisnes yang berterusan.
Di saat kita ingin memulakan sesuatu perniagaan, kita cukup teruja untuk mempunyai rakan kongsi di dalam bisnes. Kita berpendapat apabila mempunyai rakan kongsi, semuanya boleh dikongsi bersama terutamanya dari segi permasalahan syarikat. Tetapi tanpa ilmu dan pengalaman yang secukupnya, memiliki rakan kongsi sentiasa membawa kepada permasalahan.
Terdapat banyak idealogi dan pendapat orang bisnes terhadap rakan kongsi. Salah satunya, orang bisnes berpendapat rakan kongsi perlulah saling melengkapi di antara satu sama lain.
Sebagai contoh, jika kita merupakan orang yang menghasilkan produk, maka kita mencari rakan kongsi di bahagian pemasaran. Jika kita merupakan pengusaha, maka cari rakan kongsi yang boleh menjadi pemodal. Maka itu telah melengkapi di antara satu sama lain untuk pergi lebih jauh.

#6 – Setiap Perkara Mesti Ada Hitam & Putih

Setiap perbincangan, perjanjian atau persetujuan yang termenterai di dalam perniagaan perlulah disertakan secara bertulis. Jadikan catatan bertulis sebagai satu amalan kerana jika kita hanya bergantung kepada persetujuan lisan akan menimbulkan banyak masalah pada masa akan datang.
Walaupun rakan baik anda sendiri sebagai rakan kongsi perniagaan, semuanya tetap perlu dilakukan secara bertulis, ada hitam dan putihnya. Semua perkara perlu dibincangkan dari awal agar tiada perkara berbangkit dikemudian hari, ketika perniagaan yang kita usahakan sudah berjalan dengan baik.
Jangan hanya berbincang perkara yang seronok sahaja dengan rakan bisnes, andaikan juga perkara yang tidak seronok akan berlaku. Bincangkan berapakah keuntungan yang setiap dari anda bakal perolehi, berapa pula nilai dari segi ekuiti di dalam syarikat, bagaimana jika projek ini tidak mencapai keuntungan bagi tempoh yang ditetapkan, bagaimana jika salah seorang ingin menarik diri dan sebagainya.

#7 – Pekerja Adalah Aset Bernilai

Saya cukup tidak senang apabila ada pihak yang cuba melaga-lagakan di antara majikan dengan pekerja dengan pelbagai frasa yang kurang enak untuk didengar.
Antara frasa keras yang kita selalu dengar, “sampai bila kau hendak kerja mengkayakan bos kau?“, “belum penatkah menjadi hamba kepada bos anda?“, “belajar tinggi-tinggi, akhirnya makan gaji dengan orang yang ada SPM jer?” dan sebagainya.

#8 – Pemasaran Adalah Nadi Perniagaan

Pemasaran adalah nadi perniagaan yang perlu diberikan perhatian serius oleh pemilik bisnes. Bagi saya pemasaranlah yang akan menentukan kejayaan syarikat anda dalam jangka masa pendek. Perkara-perkara lain seperti penjenamaan, pembahagian pasaran, kualiti produk dan sebagainya itu adalah faktor yang menentukan kejayaan untuk tempoh jangka panjang.
Oleh itu, anda perlu memiliki ilmu pemasaran yang secukupnya untuk mengemudi perniagaan dan syarikat anda pergi lebih jauh. 
Tiada cara lain untuk kita bersaing di dalam pasaran terbuka sekarang melainkan dengan mengukuhkan cara dan teknik kita melakukan pemasaran. Oleh itu, anda perlu sentiasa belajar ilmu dan teknik pemasaran yang terkini agar dapat diadaptasi dalam menggerakkan perniagaan anda.

#9 – Perlu Ada Mentor Perniagaan

Bagi saya sudah menjadi satu kewajipan untuk kita memiliki mentor atau penasihat bagi perniagaan kita. Dengan adanya mentor atau penasihat maka kita akan dapat menjana banyak idea untuk mengembangkan perniagaan yang kita usahakan ke tahap yang lebih baik dan kita juga dapat mengelakkan daripada melakukan kesilapan-kesilapan mudah.
Apabila saya ditimpa sebarang masalah sama ada dari segi model bisnes, pekerja, pemasaran dan apa sahaja aspek di dalam perniagaan, saya ada individu yang digelar mentor untuk saya ajukan permasalahan.
Oleh itu, carilah mentor yang bersesuaian dengan perniagaan yang anda ingin usahakan. Mentor tidak akan sesekali menyelesaikan masalah bagi pihak kita, sebaliknya mereka akan menunjukkan jalan kepada kita bagaimana hendak menyelesaikan masalah tersebut.
Setiap mentor mempunyai prinsip dan mazhab bisnes yang tersendiri. Oleh itu, jangan terikat dengan seorang mentor sahaja. Cari pelbagai mentor agar persepsi anda terhadap sesuatu perkara dan permasalahan lebih terbuka. Saya sendiri mempunyai beberapa orang mentor dan penasihat untuk perniagaan saya.
Kebanyakkan mereka adalah mentor yang tidak dikenali ramai tetapi nasihat mereka tersangatlah berharga seperti mutiara yang mahal harganya.
#10 – Perlukan Modal Yang Mencukupi Untuk Mengubah Dunia
Bagi mereka yang baru ingin memulakan perniagaan sendiri, saya sarankan agar mencuba model perniagaan yang lebih mudah untuk menghasilkan duit. Elakkan mencuba model perniagaan yang terlalu sukar atau menelan kos yang tinggi untuk direalisasikan.

#11 – Kejayaan Tidak Datang Dengan Cepat

Sejak kebelakangan ini ramai sekali mereka yang ingin berjaya dengan cepat di dalam perniagaan. Apabila mereka memulakan perniagaan hari ini maka mereka ingin mengecapi kejayaan yang besar dalam masa 3 bulan atau 6 bulan akan datang.
Mungkin kita terlalu banyak membaca kisah kejayaan orang lain di dalam perniagaan yang mana semuanya menceritakan bagaimana kejayaan mereka di dalam satu malam. Sedangkan orang berjaya tersebut tidak bercerita pula selama mana mereka perlu berusaha dan berusah-payah sebelum berjaya.

No comments:

Post a Comment